Solo Trip to Thailand: Part V [Hat Yai – Shah Alam] – FINALE

Solo Trip to Thailand: Part V [Hat Yai – Shah Alam] – FINALE

Bersambung dari Solo Trip to Thailand: Part IV

DAY VII – Khamis, 29 Disember 2011

Punyalah nyenyak aku tidur. Bangun-bangun dah nak dekat pukul 6.00 dah. Memang satu perjalanan yang meletihkan dan tak sangka, semua ni dah nak sampai ke penghujung. Ceh, macam ayat dalam drama Melayu pulak. Haha. Elok je bila matahari naik, aku dapat tengok keadaan sekeliling bumi Thailand ni terutamanya kawasan pedalaman dia. Sebelum sampai ke Hat Yai, bas ni ada turun kat beberapa tempat lain. Macam mamat sebelah aku, dia turun kat Phattalung. Sedap je bunyi dia kalau dengar pramugari tu sebut, “Phattalung, Phattalung“. Hehe. Dalam pukul 6.30 pagi, rata-rata penumpang dalam bas semua dah bangun. Pramugari pun datang, bawak satu tisu basah dan secawan kopi. Ambil jangan tak ambil. Sebab semua tu free! Eh, jap. Bukan free tapi dah masuk dalam bayaran tiket aku tu. Hehe.

Billboard besar di tepi jalan...
Kawasan Thailand yang belum membangun...
Kopi dah habis!

 Dalam pukul 8.30 pagi aku sampai ke stesen bas Hat Yai. Dengan mamai-mamainya, lepas tu ulat-ulat tiket yang dok push-push tanya aku, aku nak pergi mana, aku rasa rimas sangat. Dah lah tak mandi pagi lagi. Haha. Secara jujurnya, aku tak tau kat mana nak cari tiket bas nak balik ke KL. Dalam hati, menyesal jugak tak cari siap-siap hari Sabtu masa aku baru sampai Hat Yai. Aku pergi dari kaunter ke kaunter, tanya, Kuala Lumpur. Lepas tu abang kat satu kaunter ni cakap, dia tau kat mana ada jual tiket Hat Yai – KL. Aku pun tunggu dan dibawa ke satu agen. Ok, masa ni aku memang tak tau langsung kat mana nak cari tiket, sebab tu bila dia bawak pergi agen, aku pun ikut je.

Beli kat agen tiket pukul 10.30 pagi, dia caj THB 550/RM 55. Aku ingat dah cukup murah dah [masa ni, duit Baht aku tinggal dalam THB 100 dan ada dalam RM 7 duit Malaysia] rupanya, ada couple dari London yang aku jumpa dan kenal kat ofis agen ni, dapat harga lagi murah. Masa kitorang on the way nak ke bas, diorang bagitau yang harga tiket bas diorang dapat THB 500/RM 50 je dari agen tu sebab diorang mintak! Murah RM 5. Adoi~ Hehe.  Oh, diorang pun ada tulis blog. Nama diorang Stephen dan Chloe. Blog diorang, klik sini [London to Australia].

Ok, tips lagi. Kalau sesiapa nak ke KL dari Hat Yai naik bas ekspres, tak payah guna agen. Kadang-kadang diorang mark up melampau sangat. Lebih baik korang naik songthaew atau teksi motorsikal, pergi ke area Lee Garden Plaza Hotel kat downtown Hat Yai. Dekat dengan Mc Donald’s dan Swensen. Sebab kat situ ada ofis Konsortium Bas Ekspres Semenanjung. Jadi, beli dari diorang terus lagi murah. Nanti nak naik bas pun memang kena naik dari situ. Tukar duit kat sini pun rate ok kalau korang baru sampai Hat Yai. Sebab rate dia THB 100=RM 10. Jadi, tak rugilah.

Lepas dah beli tiket, aku jalan-jalan dulu kat pekan Hat Yai depan stesen bas ni. Cari sarapan. Nampak sorang kakak ni jual nasi briyani lauk ayam. Aku beli sebungkus. THB 35/RM 3.50 je sekali dengan ayam. Murah kan? Tapi, aku tak makan pun. Haha. Aku simpan je dalam beg sebab perut aku tak selesa.

Stesen bas Hat Yai...
Jalan-jalan cari sarapan...

Dalam pukul 9.30 pagi, datang satu pick truck dari syarikat Konsortium nak ambil aku, Stephen dan Chloe bawak pergi tempat naik bas sebab bas bertolak dalam pukul 10.30 pagi. Masa ni, ada sorang mamat Palestin dan isteri dia orang Thailand pun naik sekali. Semua nak ke KL.

Ofis konsortium kat sinilah...

Sampai ofis konsortium, diorang mintak passport sebab nak isi butiran penumpang. Lepas tu, voucher yang agen tu bagi akan ditukar dengan tiket bas. Masa ni baru tau kita duduk seat mana. Lepas naik bas, dalam pukul 10.40 pagi, bas pun bertolak ke Kuala Lumpur.

Suasana dalam bas. Bas sangat mewah dan selesa. Tapi, cuma sementara. Kat Kamunting dia tukar bas.
Gigih mencari rezeki...

Dalam pukul 12.00 tengahari lebih kurang, kami semua sampai sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam. Kat Sadao, bagi passport untuk cop exit dan selesai. Masa ni aku, Stephen dan Chloe dah tag along, jadi kawan. Hehe. Tak lama lepas tu seorang solo traveller dari Thailand, Jenny tak silap nama dia, join group kitorang untuk seberang sempadan. Kami semua pertama kali naik bas dari Hat Yai ke KL, jadi semua tak tau prosedur. Lepas je selesai urusan imigresen Thailand di pos Sadao, kami jalan kaki kat No Man’s Land antara Thailand-Malaysia untuk ke pos Bukit Kayu Hitam.

Pos sempadan Sadao, Thailand...
Syukur alhamdulillah, selamat kembali ke Malaysia!

Kat pos sempadan Bukit Kayu Hitam, aku ingat nak guna autogate, tapi autogate dia tak bukak. Terpaksalah aku beratur dengan orang lain. Panjang sangat barisannya. Nasib baik dah ada kawan 3 orang tu. Boleh lah sembang. Hehe. Masa ni, Jenny ceritalah yang dia tipu mak dia, dia cakap dia pergi Malaysia dengan kawan. Sebab, katanya kalau dia bagitau mak dia yang dia pergi sorang-sorang, mesti mak dia tak lepas sebab dia kata orang Thailand masih belum boleh terima konsep solo traveller, apatah lagi kalau perempuan. Dan ni jugak first trip dia keluar dari Thailand. Berani sungguh. Respect!

Oh, sebelum korang beratur kat pos sempadan Bukit Kayu Hitam ni, pastikan korang angkut beg korang dulu dari tepi jalan [driver akan letak tepi jalan, sebelah pondok polis]. Jangan jadi macam kami. Jalan berlenggang. Sekali pergi kat bas, driver bas kata kena ambil beg kat sebelah pondok polis, bawak pergi scan. Nasib baik tak payah beratur balik. Hehe.

Dah setel semua, aku set balik jam dan dalam pukul 2.00 petang [waktu Malaysia, waktu-waktu lepas ni semua waktu Malaysia] kami naik lah bas semula beramai-ramai. Sementara tunggu orang lain, mamat Palestin tu sempat lagi layan Shisha. Dia bawak sendiri punya. Haha. Lepas bas dah start jalan, bas akan berhenti kat satu kawasan rehat nama CTC [nama panjang tak ingat]. Dekat je dengan pintu sempadan. Kalau korang nak makan, makanlah kat sini. Sebabnya, bas ni cuma berhenti kat sini je untuk makan. Lepas-lepas ni, dia cuma berhenti untuk toilet break.

Mula-mula aku macam ragu-ragu nak makan [sebab apa, agak2lah sendiri. Hehe], tapi lepas tu seorang Melayu yang jaga kat situ cakap, “Makan lah dik. Semua ni Halal. Orang kita yang masak”. Ok, dengar je penyataan dia, terus aku angkat pinggan makan nasi. Kawan baru lagi 3 orang tu pun semua makan nasi. Hehe. Stephen dok puji, sedap lauk-lauk kat sini. Haha. Bangga sekejap.

Jenny, aku dan Chloe. Stephen tukang tangkap gambar. Gambar diambil dari blog http://londontoaustralia.wordpress.com

Bas pun gerak semula lepas dah berhenti dalam setengah jam kat sini untuk makan, buang air, solat semua… Sampai Kamunting, bas kena tukar sebab pakcik driver bas tu kata, bas yang kami naik ni bas spare. Tapi, bas yang ditukar tu tak best. Hehe. Tak semewah bas dari Hat Yai. Legroom kecil, takde bantal, kerusi kecik sikit. Eh, banyak komplen pulak aku ni. Haha.

Lepas dah harung jem dan perjalanan yang panjang sampai aku tertidur-tidur, akhirnya dalam pukul 10.00 malam, bas kami sampai ke stesen Pudu Sentral. Sampai-sampai Pudu, aku tunjuk jalan kat Stephen, Chloe dan Jenny untuk ke hostel diorang sebab satu jalan. Aku nak ke stesen LRT Masjid Jamek. Stephen dan Chloe tinggal kat Serai Inn, lepas tu ke depan sikit hostel Jenny pulak, Reggae Mansion. Lepas tu, aku pun terus ke stesen LRT Masjid Jamek. Masa ni baru aku perasan, Ampang Line dan Kelana Jaya Line dah interchangeable. Kiranya stesen Masjid Jamek dah jadi macam stesen BTS Siam. Bagus! 😉

Dari stesen Masjid Jamek ke KL Sentral, lepas tu dari KL Sentral aku naik komuter ke stesen Shah Alam. Aku telefon adik aku, mintak dia tolong ambil kat stesen komuter Shah Alam dan akhirnya, hampir tengah malam, aku pun sampai ke rumah aku dengan selamat, penuh dengan kenangan-kenangan sepanjang 7 hari aku berjalan ke bumi Siam…

Makanya, travelog Backpacking Trip to Thailand dan Solo Trip to Thailand TAMAT.

NEXT: EPILOG BACKPACKING AND SOLO TRIP TO THAILAND

21 Replies to “Solo Trip to Thailand: Part V [Hat Yai – Shah Alam] – FINALE”

  1. salam, saya bercadang nak naik tren dari kl sentral ke bangkok. persoalan disini, adakah berbaloi untuk singgah ke hatyai? ke direct ke bangkok.
    terima kasih

    1. salam. bg saya, kalau nak singgah ke hatyai, satu malam pun dah cukup, sekadar untuk berehat dan merasai suasana kat hat yai. hat yai tak banyak benda pun. tapi pulut mangga makcik purdah jual depan lee garden plaza hotel sedap. hehe. kalau ada masa lama [maknanya nak ke bangkok petang esoknya ke] boleh singgah pasar terapung klong hae.

      tapi, kalau tak singgah pun takpe. sebab kat bangkok lagi banyak benda menanti. kiranya tak singgah pun tak rugi. tapi kalau nak singgah, satu malam dah memadai. 🙂

    1. waalaikummussalam… sama2. hhehe. memang niat sambil jalan sambil nak tolong traveller2 lain. sbb sy pun dlu susah jugak buat research nak ke sana, dan baca blog org mmg byk membantu. sbb byk blog dari persepektif mat salleh. so diorg pegi bar, club, tempat2 macam tu. hehe

      waaa.. solo backpacker! tahniah! selamat datang ke dunia backpacking dan saya doakan semuanya selamat nanti!

  2. Saya just nak tahu, berapa lama masa yang di ambil dari KL – Hat yai and Hat yai – Bangkok ? Mggu hadapan saya akan ke Bangkok 🙂 and mana lagi berbaloi utk ke Bangkok dari Hat Yai, bas or train ? Terima kasih 🙂

    1. Salam. Secara kasarnya, kalau naik tren dari KL-Hat Yai-Bangkok, akan ambil masa 2 hari. Malam pertama dari KL ke Hat Yai. Sampai Hat Yai pagi. Naik tren petang. Malam kedua dari Hat Yai Ke Bangkok, sampai Bangkok pagi esoknya.

      Saya tak pernah naik bas dari KL-Bangkok, tapi kalau ikut kepada perjalanan balik saya, naik bas lagi sekejap la dari naik tren. 🙂

      Mana lagi berbaloi untuk ke Bangkok dari Hat Yai, itu kita tengok berbaloi dari segi apa. Dari segi kos, naik tren lebih berbaloi sebab kalau ambil 3rd class mcm saya ambil, lagi murah dari bas.

      Dari segi masa, naik bas lebih berbaloi sebab cepat.

      Tapi, dari segi pengalaman, naik tren lagi berbaloi-baloi sebab pengalaman naik tren Thailand dengan pemandangannya, suasananya, tak sama macam kat Malaysia. Naik bas lebih kurang macam Malaysia dari segi pemandangan dan suasana. Cuma ada pramugari dan makanan disediakan je.

      Nak lagi bagus, pergi naik tren balik naik bas atau vice versa 😉 Boleh rasa dua-dua.

      Harap membantu 😉

  3. salam, nak tanya skit..
    Dr stesen keretapi hat yai ke terminal bas hat yai jauh tak? Sy plan nak naik train tp takut tiket hat yai – bangkok habis. Walking distance tak?

    Terima kasih.

    1. Salam…

      Klau takut tiket tren hbs, bleh ke stesen bas. Tapi jalan kaki agak jauh. Saya rekomen naik teksi motosikal, dlm THB 50 ke stesen bas 🙂

  4. Finally…..tamat gak aku
    baca entry ni dalam 3 hari
    hahhahah….
    Walaupun dah lewat
    bertahun2 tapi xpe kaannn..?
    Hehehe…
    Sejujurnya aku search pasal
    train route kat google engine
    tu, ntah knpe ternampak lak
    kisah perjalanan ko ni yg
    penuh peluh n sesat
    hahhaaha….overall I like ur
    story (^▿^)/

    1. Kena tukar di Hat Yai dulu sebab tak ada bas direct.

      Kalau nak kira dari Shah Alam, anggaran dalam 12 jam ke Hat Yai dan lagi 16 jam ke Bangkok

      Kos bas dari Shah Alam ke Hat Yai maksimum dalam RM 60 + bas ke Bangkok lingkungan RM 50 ke atas, dalam RM 1xx. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: